Terkini – ubi muda menyinar lagi

Seorang lagi pemain muda negara, Muhammad Soleh Ahmad Shukri berada pada landasan yang tepat untuk menyinar di peringkat antarabangsa apabila beliau berjaya memikat barisan kejurulatihan Akademi Malaga City FC dan dipilih memasuki pasukan kategori usia 18 tahun untuk musim ini.

Pemilihan itu sekali gus menyaksikan Muhammad Soleh menjadi wakil tunggal dari Malaysia yang terpilih untuk mewakili pasukan di peringkat usia muda yang sangat dikagumi.

Malah, menurut bapa kepada pemain itu, Datuk Dr Ahmad Shukri Md Salleh yang menyifatkan bukan mudah dan senang untuk berada dalam pasukan terbabit kerana mereka memerlukan komitmen dan bersaing dengan ratusan penuntut akademi lain dari seluruh dunia datang di situ.

“Soleh selesai menjalani penilaian dan pemilihan kategori pemain bola sepak FCMC pada minggu lalu. Alhamdullilah walaupun Soleh baru berusia 17 tahun, dia terpilih memasuki pasukan kategori 18 tahun yang dinilai mengikut tahap kemahiran dan potensi bagi setiap pemain.

“Ada yang berusia 19 tahun tetapi dimasukkan dalam kategori usia pemain 16 tahun. Hanya Soleh pemain daripada Malaysia, manakala yang lain ada dari England, Amerika Syarikat (AS), Brazil dan lain lain,” katanya.

Sementara itu, beliau menyimpan tekad  dan hasrat untuk terus bekerja keras selepas dipilih memasuki pasukan usia 18 tahun Akademi Malaga City FC bagi memastikan kariernya terus dapat ditingkatkan di bumi Eropah suatu hari nanti.

Sebenarnya, ada lebih kurang 150 pemain daripada seluruh dunia seperti AS, Finland, Kanada, Australia, Brazil, Argentina dan Portugal tetapi hanya ada satu pemain Malaysia sahaja dalam pasukan usia 18 tahun.

“Fokus utama adalah untuk terus menjadi lebih baik dan belajar sebanyak mungkin yang boleh. Saya berharap dapat memikat pemantau bakat dalam proses itu,” katanya.

Sebagai rekod, lebih ramai ‘ubi muda’ bola sepak negara menjadi perhatian akademi terkemuka Eropah dengan Soleh menjadi pemain terbaharu selepas disahkan menyertai Akademi Malaga City FC yang berpangkalan di Sepanyol.

Muhammad Soleh, 17, pemain sayap kanan kelab FC 1Goal dipilih memperkembang bakat beliau serta menimba pengalaman di sana selepas video memaparkan gaya permainannya berjaya menarik minat Ketua Analisis Prestasi dan Perekrutan akademi itu.


Hi, Boleh Bantu Share ? Thank You <3