TERKINI Pengeluaran KWSP Bersasar Untuk Golongan Memerlukan Adalah Langkah Yang Baik

Pengeluaran KWSP yang disasarkan dilihat sebagai langkah yang lebih baik untuk dilaksanakan kerana inisiatif ini dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukannya.

Penganalisis ekonomi dari Sekolah Perniagaan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rasyid berkata suntikan tunai daripada pengeluaran KWSP pastinya akan dibelanjakan untuk menjana ekonomi domestik.

Beliau berkata, pengeluaran yang disasarkan bukan sahaja untuk kumpulan B40 tetapi juga untuk kumpulan M40 iaitu bagi sesiapa yang memerlukan dan belum pulih sepenuhnya daripada wabak Covid-19 dan keadaan ekonomi semasa.

Pengeluaran KWSP Bersasar Adalah Langkah Yang Baik

“Sekiranya ada keperluan mendesak, pengeluaran KWSP yang disasarkan boleh dipertimbangkan mengikut keperluan pencarum.

“Masalahnya ialah ramai pencarum mempunyai baki simpanan yang rendah apabila pengeluaran khas dibenarkan pada masa lalu. Sekali imbas, pengeluaran kali ini mungkin hanya memenuhi sebahagian kecil keperluan pencarum dengan baki positif.

“Justeru, sekiranya kerajaan ingin melaksanakan pengeluaran KWSP, lebih baik ia diberikan secara bersasar,” katanya.

Tambahnya, KWSP sebenarnya adalah simpanan untuk hari tua, namun kemelut yang tercetus akibat pandemik lampau menyebabkan ramai orang tidak dapat mengelak pengeluaran ini.

“Jadi, sudah ramai yang terkesan dan tidak cukup simpanan untuk hari tua, mungkin perlu kerajaan merangka cadangan baharu untuk meningkatkan kebajikan rakyat Malaysia untuk masa kini dan akan datang,” katanya.

Sementara itu, Perancang Kewangan Berlesen Rafiq Hidayat Mohd Ramli berkata data KWSP menunjukkan ramai pencarum mempunyai simpanan persaraan yang tidak mencukupi iaitu kurang daripada RM10,000.

Beliau berkata, wang KWSP adalah wang persaraan rakyat dan akibat daripada penularan wabak itu, rakyat telah menggunakan banyak wang sendiri (kebenaran pengeluaran khas KWSP) untuk kelangsungan hidup.

“Perkara terbaik yang perlu dilakukan ialah membantu rakyat khususnya kumpulan B40 dan M40, dalam jangka pendek kerajaan perlu memberikan subsidi bersasar terutama subsidi petrol kerana kini T20 turut mendapat manfaat daripadanya.

“Kerajaan perlu segera mengkaji semula subsidi dan lebihan wang itu boleh digunakan untuk membantu rakyat yang masih bergelut dengan kewangan mereka,” katanya.

Hi, Boleh Bantu Share ? Thank You <3