Sukan Sea Hanoi. Ikuti Berita Sukan Bola Sepak Disini.
Skuad futsal lelaki Malaysia pamer aksi longlai dan tidak bermaya ketika bertemu skuad Thailand di pentas berprestij Sukan SEA 2022 semalam.
Pertembungan terakhir Malaysia menentang Thailand adalah ketika aksi Piala AFF yang berpihak kepada Thailand dengan jaringan 6-2. Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia tersingkir di peringkat kumpulan.
Thailand bermula dengan mendominasi permainan sejak awal lagi dan memberi tekanan penuh dari setiap sudut kawasan Malaysia.
Gol pertama Thailand hadir seawal minit ke-2 apabila Ronnachai Jungwongsuk merembat bola dari sudut tepi padang dan berjaya menewaskan penjaga gawang Malaysia.
Tidak lama kemudian Ronnachai menambah gol kedua menerusi rembatan kencang yang hanya mampu dilihat pemain Malaysia. Selang 5 minit kemudian, Peerapat menjadi penjaring gol ketiga dengan rembatan kencang hasil dari situasi bola mati.
Kritsada menjadi penjaring ke empat gol bagi Thailand apabila dengan mudah menendang bola masuk menerusi “set piece”. Peerapat menambah gol kedua peribadi dengan meletakkan Thailand 5 gol selesa dihadapan sebelum separuh masa tamat.
Masuk babak kedua, skuad Malaysia mengubah corak permainan dan memberi Thailand ancaman namun tindakan cemerlang penjaga gawang, Hankampa berjaya menidakkan banyak peluang Malaysia.
Namun Malaysia berjaya merobek gawang kebal Thailand dengan dua gol hasil jaringan dari Ekmal Shahrin dan Khairul Effendy dalam masa yang pantas untuk merapatkan jurang.
Namun Peerapat seperti tidak mahu Malaysia meneruskan rentak apabila beliau menjaringkan gol ke-6 Thailand dan menjadikan hattrick sebagai mimpi ngeri buat Malaysia. Perlawanan tamat dan Thailand dengan mudah mendapatkan 3 mata penuh.
Skuad Malaysia perlu bangkit bagi perlawanan seterusnya dan perlu melupakan aksi kurang bertenaga pada hari ini untuk kembali mencabar pingat yang ditawarkan.