Skuad B-23 Malaysia Pamer Aksi Cemerlang Ketika Bertemu Laos!


Sukan Sea Hanoi. Ikuti Berita Sukan Bola Sepak Disini.

Skuad B-23 Malaysia meneruskan rentak cemerlang di pentas Sukan SEA 2022 apabila meraih kemenangan kedua selepas menundukkan Laos 3-1 di Stadium Thien malam tadi.


Skuad B-23 Malaysia Pamer Aksi Cemerlang Ketika Bertemu Laos! 2

Kemenangan tersebut meletakkan skuad kendalian Brad Maloney kembali mengungguli carta Kumpulan B dengan 6 mata maksimum. Ternyata Malaysia berjaya membalas dendam selepas ditewaskan Laos dalam aksi persahabatan tempoh hari.

Skuad B-23 Malaysia Pamer Aksi Cemerlang Ketika Bertemu Laos! 3

Malaysia bermula dengan garang dan kerap kali memberi masalah kepada benteng pertahanan lawan. Pada minit ke 36, Luqman Hakim berjaya menjaringkan gol pertama hasil rembatan dalam kotak penalti selepas mengelecek pemain pertahanan Laos.

Dua minit sebelum masa rehat, Syahir Bashah menggandakan kelebihan buat Malaysia dengan satu jaringan cantik yang bermula dari lorongan kapten pasukan Mukhairi Ajmal yang disudahkan dengan satu lencongan dari luar kotak penalti.


Skuad B-23 Malaysia Pamer Aksi Cemerlang Ketika Bertemu Laos! 4

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Laos jelas kelihatan sangat letih kerana menghadapi jadual perlawanan cukup padat selang sehari berbanding Malaysia yang mempunyai waktu rehat selama 3 hari.

Masuk babak kedua, Mukhairi hampir menambah gol buat Malaysia pada minit ke-51 apabila melakukan percubaan dari luar kotak penalti namun, sepakan lencongnya itu hanya beberapa inci tersasar di atas palang gol.

Malaysia mula membuat pertukaran selepas sejam perlawanan berlangsung dengan membawa masuk dua pemain serangan Azfar Fikri Azhar dan Hadi Fayyadh yang menggantikan Syahir Bashah serta Danial Asri.


Skuad B-23 Malaysia Pamer Aksi Cemerlang Ketika Bertemu Laos! 5

Kelebihan fizikal yang dimiliki oleh Hadi dimanfaatkan sepenuhnya apabila beliau menanduk bola ke belakang lalu disudahkan oleh Luqman Hakim untuk gol ketiga negara pada minit ke 67.

Usaha Laos untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu jaringan terhasil pada minit ke-85 selepas Visith Bounpaserth bijak melepasi kawalan pertahanan Malaysia sebelum melepaskan rembatan kaki kiri yang melencong masuk ke dalam gawang.

Skuad negara juga berpeluang menambah gol keempat namun rembatan Hadi Fayyadh tersasar biarpun penjaga gol Laos sudah tertewas.


Skuad B-23 Malaysia Pamer Aksi Cemerlang Ketika Bertemu Laos! 6

Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan Malaysia menghuni kedudukan teratas dalam kumpulan B selepas mengutip 6 mata dalam dua perlawanan yang diharungi.

Ini kemenangan kedua skuad negara ke atas Laos dalam 4 pertemuan terakhir. Malaysia pernah mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas lawan itu pada aksi Kumpulan J pusingan Kelayakan Piala Asia B-23 2022 di Ulaanbaatar, Mongolia pada Oktober tahun lepas.




Hi, Boleh Bantu Share ? Thank You <3