Home » Isu Semasa » PRN MELAKA – Terpulang Kepada SPR untuk Melonggarkan SOP Hari Pengundian

PRN MELAKA – Terpulang Kepada SPR untuk Melonggarkan SOP Hari Pengundian

PRN MELAKA – Semuanya terletak di tangan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk melonggarkan SOP (prosedur operasi standard) pada hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, seperti membenarkan penyokong membawa bendera parti, kata Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Walaupun begitu, Hishammuddin berkata sebagai jentera parti adalah penting untuk setiap parti memastikan semua SOP dipatuhi bagi mengelakkan dan mengurangkan sebarang risiko.

“Itu kena tanya SPR, perjalanan hari membuang undi berada di bawah tanggungjawab mereka. Sebagai jentera parti, kita perlu yakinkan rakyat keluar tunaikan tanggungjawab mereka,” kata Hishammuddin yang mengetuai pengurusan pandemik COVID-19 di bawah Majlis Keselamatan Negara.

Beliau berkata demikian semasa diajukan soalan adakah kerajaan mempunyai perancangan melonggarkan SOP PRN Melaka yang ketat, termasuk memberikan kebenaran untuk penyokong membawa bendera lambang parti seperti kebiasaan.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin yang menjawat Menteri Kanan Pertahanan juga berkata semalam seramai 8,332 atau 91.3 peratus anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), telah menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pengundian awal dan ianya berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

“Melalui maklum balas yang saya terima, pematuhan SOP pembuangan undi yang telah ditetapkan oleh pihak SPR, berada pada tahap yang baik,” tambahnya lagi.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada anggota-anggota tentera yang telah mengundi dan berharap suasana tenang dan tahap pematuhan SOP seperti semalam dapat dikekalkan sepanjang tempoh kempen berjalan sehingga 20 November 2021 nanti.

Sebelum ini SPR menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November 2021 oleh kerana pembubaran DUN pada 4 Oktober 2021 selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Melaka mempunyai 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memiliki sejumlah 495,195 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, adalah wanita.

 

Disclaimers – Semua artikel portalamalaysia kongsikan diatas hanyalah panduan tutorial dan rujukan artikel related dengan “PRN MELAKA – Terpulang Kepada SPR untuk Melonggarkan SOP Hari Pengundian” sahaja. portalamalaysia tidak ada sebarang kaitan dengan agensi kerajaan atau mana-mana company yang berkaitan dengannya, segala rujukan berasaskan sumber official dan betul-betul sahih sahaja.

Sila Share Artikel Ini Dahulu Sebelum Teruskan Pembacaan!

Would you like to receive notifications on latest updates? No Yes