Juara bertahan, Thailand tidak berdepan masalah untuk memulakan kempen Piala AFF 2022 dengan nota kemenangan apabila membelasah Brunei 5-0 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium KLFA, Cheras semalam.
Bordin Phala terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-19 sebelum penyerang legenda, Teerasil Dangda, menggandakan kelebihan itu pada minit ke-44 untuk Gajah Perang ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol.
Brunei bertahan lebih kental dalam babak kedua dan memberikan kesukaran buat Thailand untuk memecahkan benteng mereka tetapi segalanya berubah selepas Awangku Yura Indera Putra Pengiran Yunus terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ke-88.
Sila Baca Disini : Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 – Rakyat Korea Bakal Saksikan Harimau Malaya!
Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 – Thailand,Kemboja Raih 3 Mata Pertama!
Runtuhnya tembok pertahanan itu menyaksikan Peeradon Chamratsamee memanfaatkan sepenuhnya situasi berkenaan untuk menjaringkan dua gol peribadi dalam waktu kecederaan, masing-masing pada minit ke-91 (tendangan penalti) dan minit ke-93.
Manakala Kemboja pula mencipta kejutan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Piala AFF apabila menewaskan Filipina 3-2 di Stadium Nasional Morodok Techo.
Berdasarkan kedudukan ranking dunia, Filipina jauh lebih unggul dengan menduduki tangga ke-133 manakala Kemboja pula di kedudukan ke-177 dunia.
Bagaimanapun, kisah di atas padang ternyata berbeza apabila Angkor Warriors hanya memerlukan 20 minit sejak wisel permulaan untuk mendahului dengan dua jaringan.
Penguasaan hampir sempurna yang dipamerkan Kemboja sejak dari awal permainan menyaksikan Reung Bunheing meletakkan pasukan tuan rumah itu di depan pada minit ke-16 sebelum Orn Chanpolin menggandakan kelebihan itu berselang empat minit.
Filipina, bagaimanapun berhasil merapatkan kedudukan menjelang separuh masa apabila Kenshiro Daniels menemui sasaran pada minit ke-41.
Daniels sekali lagi menerbitkan harapan kebangkitan buat The Azkals apabila menyamakan kedudukan selepas 10 minit perlawanan bersambung, hanya untuk dikecewakan Reun Bunheing, yang menemui jaringan peribadi keduanya empat minit kemudian, sekali gus memastikan tiga mata pertama pasukan bimbingan Ryu Hirose berkenaan.
Dengan kemenangan itu, Thailand muncul pendahulu Kumpulan A selepas hari perlawanan pertama di depan Kemboja, yang turut mencatatkan kemenangan dengan mengejutkan Filipina.