Malaysia menamatkan kemarau kemenangan di gelanggang Myanmar apabila meraih kemenangan 1-0 dalam aksi pertama Kumpulan B, Piala AFF 2022 di Stadium Thuwunna semalam.
Harimau Malaya tidak pernah menang sepanjang tiga pertemuan lalu di venue berkenaan sejak 2016, di mana skuad negara tewas dua kali dan seri sekali tetapi badi itu dapat ditamatkan pasukan bimbingan Kim Pan-gon kali ini, biarpun dalam keadaan yang amat sukar.
Corak permainan pantas dan keras yang dipamerkan tuan rumah menyaksikan skuad negara sukar untuk mengatur gerakan, bahkan dua pemain utama, iaitu Khuzaimi Piee (pertahanan) dan Darren Lok (penyerang utama) terpaksa dikeluarkan menjelang separuh masa kedua gara-gara kecederaan.
Sila Baca Disini : Modric Mahu Ke EURO 2024!
Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 – Harimau Malaya Raih 3 Mata!
Siri terjahan keras terus dilakukan tuan rumah dalam babak kedua dengan ketua pasukan, Safawi Rasid, dan penjaga gol, Syihan Hazmi Mohamed, antara yang menjadi sasaran.
Bagaimanapun, tindakan bijak Safawi menghidu gerakan tanpa bola yang dilakukan pemain sayap licik, Faisal Halim, membuahkan hasil apabila lorongannya mudah ditolak masuk Faisal pada minit ke-52.
Jaringan itu ternyata belum cukup untuk menjamin kemenangan Malaysia, sambil Myanmar pula menggandakan asakan mereka bagi memburu jaringan penyamaan.
Akibatnya, Myanmar mendapatkan sepakan penalti pada minit terakhir waktu sebenar selepas pengadil, Ahmed Faisal Al Ali, mendapati bola terkena tangan Sharul Nazeem Zulpakar.
Namun, Syihan muncul wira skuad negara apabila menyelamatkan tendangan Win Naing Tun dalam waktu kecederaan, sekali gus memastikan kelebihan satu gol skuad negara dipertahankan sehingga ke wisel penamat.
Malaysia selepas ini akan meneruskan saingan dengan menantikan kunjungan Laos bagi aksi kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.