Perlawanan persahabatan menentang Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur malam ini akan menjadi peluang terakhir buat pemain menambat hati ketua jurulatih skuad negara, Kim Pan-gon untuk terpilih ke Piala AFF bulan ini.
Bagi Pan-gon, beliau mahu melihat aksi terbaik dapat dipamerkan kesemua pemain selain elemen paling penting, mampu beradaptasi dengan taktikal yang mahu diterapkannya.
“Mereka perlu bersaing sesama sendiri sebelum kami membuat keputusan untuk senarai akhir nanti. Saya harap setiap pemain dapat memberikan aksi terbaik dan membuktikan mereka layak untuk beraksi dalam Piala AFF.
Sila Baca Disini : Neymar Belum ‘Move On’!
Peluang Terakhir Pemain Malaysia!
“Saya juga mahu lihat karakter mereka, sifat agresif serta kebijaksanaan di atas padang,” katanya dalam sidang media sebelum perlawanan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Dalam pada itu, Pan-gon mengakui berdepan detik sukar untuk membentuk pasukan yang mampu memenuhi jangkaan peminat yang mahu skuad negara mendapat keputusan terbaik dalam kempen Piala AFF kali ini.
Bagaimanapun, beliau yakin dan percaya kemampuan pemain barunya untuk mencuba memberikan aksi luar biasa sepanjang kempen berkenaan.
“Saat ini agak sukar kerana ramai pemain adalah pemain baru selain tidak banyak perlawanan bersama tetapi kami tetap fokus,” tambahnya.
Pemain Harimau Malaya, terutama di benteng pertahanan, tidak berdepan masalah untuk membentuk keserasian walaupun pasukan yang akan beraksi di Piala AFF kali ini dibarisi ramai pemain muda dan muka baru.
Pertahanan negara, Ahmad Khuzaimi Piee, berkata kesemua pemain menunjukkan komitmen, sekali gus bersedia untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan yang akan membuka tirai pada 21 Disember ini.
Menurutnya, tanpa kehadiran pemain kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools, dalam dua aksi persahabatan menentang Kemboja dan Maldives, memberikan ruang buat gandingan baru diuji di posisi berkenaan.
“Sebelum ini pun kami dah berlatih bersama, ia tidak ambil masa lama untuk kami serasi. Apa yang penting, setiap pemain dapat memberi komitmen dalam pasukan,” katanya dalam sidang media menjelang perlawanan menentang Maldives di Stadium KLFA malam ini.