Seorang bintang baharu, Myra Natasya, 27 seorang finalis Dewi Remaja 2019/2020 itu telah mendedahkan bahawa dia adalah anak tunggal kepada bekas penyampai radio dan pengacara terkenal pada akhir 90-an sehingga awal 2000.
Menurut Myra kepada Harian Metro sudah tiba waktu untuknya mendedahkan tentang perkara tersebut.
“Selama tiga tahun, saya “menutup kemas” identiti ayah kerana menghormatinya. Selama dia bergelar penyampai radio dan pengacara yang disegani, dia memang tidak pernah membuka mulut bercerita tentang kisah peribadinya kepada orang ramai”
“Pada awal pembabitan saya dalam bidang seni ini pun, ayah kurang bersetuju kerana bimbangkan diri saya. Tetapi setelah ayah menonton saya mengacarakan rancangan di Didik Tv, banyak ilmu yang telah dia curahkan kepada saya.
Dia juga bangga dengan saya kerana mampu berusaha sehingga di tahap yang saya kecapi sekarang tanpa bergantung dengan namanya. Saya sayang dan menghormati ayah” katanya.
Sebelum berkongsi perkara ini, Myra telah memaklumkan kepada bapanya terlebih dahulu untuk berkongsi perkara yang sebenar kepada umum.
Tambah Myra lagi “hubungan saya dan ayah memang baik, walaupun saya tahu dia akan kurang selesa apabila saya berkongsi kisah peribadinya kepada media. Ayah jika bercakap pun hanya suka berkongsi tentang isu semasa atau politik.
Tapi, saya sudah cakap dengan ayah bahawa saya akan beritahu siapa sahaja yang bertanya. Ayah faham dan dengan harapan saya berjaya dalam karier yang saya ceburi” katanya lagi.
Selain menceburi bidang seni dan pengacaraan Myra Natasya juga adalah salah seorang tenaga pengajar sukan sorak untuk beberapa sekolah menerusi syarikat yang telah ditubuhkannya.