MPAJ Larang Binaan Kepuk Tidak Seragam


Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah melarang sebarang binaan atau papan nama yang tidak mengikut spesifikasi pada pusara di Tanah Perkuburan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi penyeragaman dan menjaga kualiti pemasangan.
Menurut Ketua Bahagian Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad, peraturan tersebut adalah bagi memastikan Tanah Perkuburan MPAJ berada dalam keadaan tersusun dan seragam.Larangan tersebut telah berkuat kuasa sejak pembukaan sesuatu Tanah Perkuburan MPAJ lagi.

Baca juga:

Sebarang binaan kepungan atau batu nisan yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan akan dibuka.

Menurut Norhayati Ahmad, larangan ini terpakai untuk ketiga-tiga Tanah Perkuburan MPAJ iaitu Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai 2 (Teratai) dan Tanah Perkuburan Islam Kampung Cheras Baru.

Pihak MPAJ mengulas semula larangan ini kerana ada yang menganggap peraturan itu dibuat adalah semata-mata bagi menguntungkan pihak ‘kroni’.

Notis pemberitahuan itu memaklumkan MPAJ berhak membuka, mengalih atau membuang sebarang binaan yang tidak mengikut spesifikasi dibenarkan.Selain itu, hanya kontraktor yang berdaftar dengan MPAJ sahaja dibenarkan membuat kepungan dan set nisan.

Jika waris ingin memasang kepungan kubur, tempahan hendaklah dibuat melalui pihak pengurusan MPAJ di laman web rasmi MPAJ.

Harga tempahan kepungan kubur dan set nisan melalui MPAJ adalah antara RM500 hingga RM2,700 mengikut jenis simen, jubin dan marmar.

Lebih 1,000 tempahan telah dibuat oleh waris sejak Januari hingga Julai lalu.

Menurutnya lagi, pemasangan kepuk yang tidak mematuhi spesifikasi atau tidak selari dengan kepuk jenazah lain dikhuatiri akan memberi kesan pada laluan orang awam yang menziarahi kubur.

 

Sumber: SINAR HARIAN




Hi, Boleh Bantu Share ? Thank You <3