Dua tahun lalu sempena meraikan ulang tahun ke – 40 kumpulan legenda , Lefthanded merancang untuk melancarkan penganjuran konsert berskala mega, Ultimate Experience Projek G.I.L.A membabitkan 10 lokasi di seluruh negara.
Namun ketika sedang sibuk melakukan persiapan, tiba-tiba kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 untuk fasa kedua menyebabkan segala perancangan kumpulan tersohor itu berkecai di pertengahan jalan.
Tidak pernah berputus asa dengan apa yang berlaku , Man Kidal mengakui mereka akan tetapi melancarkan konsert tersebut namun tidak akan mengambil keputusan terburu- buru sehingga segala persiapan berjalan lancar.
“Mengikut perancangan, Konsert Ultimate Experience Projek G.I.L.A tertangguh akan diteruskan, tahun depan. Sebelum projek ini berjalan, kami akan memastikan persiapan dibuat dengan lebih terperinci.”
“Jika konsert sebelum ini, kami sanggup menyewa Panggung Asia, Gombak dijadikan lokasi latihan, mungkin untuk konsert akan datang menyewa ‘ballroom’ hotel untuk tujuan sama.”
“Tak dinafikan, ia akan menelan belanja sangat besar, tetapi apabila berlatih di lokasi seperti ini, ia secara tidak langsung persiapan semua aspek seperti sistem bunyi dan penata cahaya dapat diteliti.”
“Jika latihan di studio, kami tak boleh dapatkan rasa dan suasana seperti konsert. Zaman sekarang, kita kena tunjuk kehebatan, barulah orang yakin mahu keluarkan duit bagi menyaksikan konsert,” jelasnya lagi.
Man Kidal atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Mahmood berkongsi bahawa dirinya menanggung kerugian sebanyak RM400,000, namun ia tidak akan membatalkan hasrat mereka demi memuaskan hati peminat yang menantikan kehadiran mereka.
BACA INI : Zul Ariffin Bakal Menetap Di Mekah Tahun Hadapan
“Terduduk juga bila mengenangkan kos RM400,00 terbang begitu saja. Dengan duit sebanyak itu saya sudah boleh beli rumah. Tetapi, apabila fikirkan soal kepuasan, kita tidak boleh berkompromi dengan soal kualiti sebagai band yang mempunyai pengikut tersendiri.”
“Mungkin disebabkan ada yang nampak kesungguhan Lefthanded, jadi, setakat ini ada tiga penganjur berminat untuk menganjurkan konsert kami.”
“Namun, kami minta penganjur tunggu dahulu kerana persiapan perlu mengambil masa lama untuk tampil dengan konsert.Kami merancang mengundang media massa dan elektronik ketika sesi latihan dijalankan.”
“Ini kerana saya mahu kita semua dapat melihat kualiti sama yang akan ditonjolkan dalam konsert ini,” ceritanya lagi.
Projek G.I.L.A adalah singkatan kepada Gerakkan Ilmu Laksana Agendamu dicetuskan oleh pemain gitar, Man Kidal, 58, sejak tujuh tahun lalu.