Misi teruskan rentak kemenangan! Ikuti Berita Sukan Bola Sepak Disini.
Setelah mencatat dua kemenangan berturut-turut di peringkat kumpulan dalam aksi Sukan SEA sehingga meletakkan skuad bawah 23 (B-23) sebagai pendahulu carta Kumpulan B, Brad Maloney mahu para pemainnya terus konsisten pada aksi seterusnya berdepan Singapura.
Dalam aksi ketiga skuad negara yang bakal berlangsung malam esok Maloney telah mengingatkan para pemain supaya tidak sesekali memandang rendah kepada pasukan lawan mereka iaitu Singapura walaupun masih segar dengan dua kemenangan.
Menurut pengendali tersebut, Maloney enggan para pemain kendaliannya mengambil mudah pada lawan kerana Singapura juga pastinya mengintai peluang untuk memerangkap Malaysia untuk mencatat kemenangan yang dicari.
Tambah Maloney lagi beliau mahu para pemain meneruskan rentak kemenangan dengan memastikan Singapura sebagai lawan seterusnya menjadi mangsa mereka pada malam esok.
Walaupun peluang dilihat sangat cerah ketika ini namun pengendali tersebut melihat baki dua perlawanan tersebut amat penting bagi mengukuhkan kedudukan pasukan.
“Kita bermula dengan baik dengan mencatatkan dua kemenangan namun perkara itu seharusnya menjadi sebagai peniup semangat untuk meraih kejayaan pada baki aksi pasukan negara.”
“Oleh itu, mereka harus kekal fokus untuk mencipta kemenangan dan mungkin kami akan menurunkan barisan pemain terbaik bertemu Singapura.” katanya menerusi Harian Metro.
Untuk kedudukan semasa, Malaysia gah berada di puncak Kumpulan B dengan enam mata penuh berjaya dikutip daripada dua perlawanan. Lawan mereka iaitu Singapura pula kini berada di kedudukan kedua setelah berjaya mengumpul empat mata.
Dalam masa sama, Maloney nyata gembira dengan prestasi semasa para pemain muda kebangsaan yang disifatkan beliau ada peningkatan positif dalam dua perlawanan terdahulu dan berharap agar konsistensi tersebut dapat dikekalkan.
“Mereka sentiasa mahu menjaringkan gol dan itu satu perkara yang baik untuk pasukan dalam usaha meraih kemenangan di temasya Sukan Sea ini.” katanya.