King Hatchback Sememangnya Paling Padu


Bila sebut sahaja Volkswagen Golf, pasti terlintas bagi mereka yang berjiwa muda bahawa model ini memiliki aura yang cukup kuat dan ada satu perasaan yang cukup teruja apabila memandu jentera ini. Walaupun pasti ramai yang mendambakan ‘along’ dalam keluarga GTI iaitu satu-satunya Golf R, GTI sebenarnya sudah memadai kerana ia menawarkan keseronokan pemanduan sporty.

Sejak ia mula dilancarkan dalam acara Frankfurt Motor Show pada tahun 1975, jentera ini terus mendefinisikan bagaimana sebuah kenderaan sports kompak patut dihasilkan. Kini, GTI serba baharu menawarkan prestasi lebih berkuasa yang membawakan pengalaman pemanduan ke satu tahap baru dengan menjadikannya kereta sport harian yang diidamkan.

Dikuasakan oleh kuasa enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan transmisi klac basah DSG 7-kelajuan berkuasa, Golf GTI mampu menghamburkan kuasa 245PS dan tork 370Nm, sekali gus menjanjikan pengalaman pemanduan yang mengujakan kepada pemandunya.


Keunikan GTI ialah sistem Vehicle Dynamics Manager yang membolehkan personalisasi pemanduan dibuat. Selain daripada beberapa mod pra tetap, ia juga mempunyai mod individu. Dari aspek kuasa, model pemasangan tempatan (CKD) di Pekan, Pahang ini cukup baik.

Tidak kira apa laluan anda sama ada lebuh raya atau jalan biasa, tahap responsif yang ditawarkan Golf GTI cukup menakjubkan. Meskipun memiliki kuasa kilasan yang padu, pasti ramai yang terkejut dengan tahap penggunaan bahan api adalah sekitar 7 liter bagi setiap 100 kilometer (km).

Dari aspek reka bentuk, Golf GTI dapat dikenali secara serta-merta menerusi gril hadapan jenis honeycomb dan kemasan merah GTI yang telah menjadi signaturnya. Ia dipasang dengan rim aloi Richmond bersaiz 18 inci bersama angkup brek berwarna merah, selain lampu utama dan lampu belakang LED sepenuhnya.


Sumber: google image

Teknologi yang termaju

Menjengah ke dalam ruang dalaman Golf GTI ternyata progresif, inovatif dan intuitif. Tempat duduk sport hadapan hadir dengan kemasan berwarna merah dan ciri suhu aktif yang boleh disesuaikan dengan cuaca panas atau sejuk. Tempat duduk pemandu yang didatangkan dengan ciri memori dan sokongan lumbar yang boleh dilaras secara elektrik. Semua tempat duduk dibalut kulit Vienna untuk memberi lebih keselesaan. Ia juga hadir dengan Driver’s Workspace iaitu landskap dalaman digital sepenuhnya yang menawarkan kemudahan dan ketersambungan lancar.


Ia kini termasuk Digital Cockpit generasi baharu 10.25 inci bersama pelbagai pandangan serta warna tema. Ini termasuklah penggayaan spesifik GTI, stereng multi fungsi dengan kawalan sentuh haptik dan ciri pemanas. Sistem infohibur Discover Media 10 inci termaju pula menawarkan navigasi binaan dalam 3D, CarPlay dan Android Auto tanpa wayar serta tujuh unit pembesar suara berkualiti tinggi.

Kawalan intuitif operasi kenderaan ini telah disokong oleh sistem arahan suara pintar yang membolehkan diaktif dengan mudah melalui ‘Hello Volkswagen’ atau dengan menekan butang suara pada stereng. Ia akan memberi  maklum balas kepada arahan suara yang intuitif seperti ‘I’m cold’ dengan menaikkan suhu.

Kualiti untuk pengecaman dan suara untuk panggilan telefon juga lancar kerana ia boleh mengesan individu yang bercakap sama ada pemandu atau penumpang hadapan serta memberi maklum balas sewajarnya. Sebagai contoh, ia dapat mengenal pasti zon suhu yang perlu diubah. Suasana ruang kabin yang selesa dan menenangkan dipertingkatkan lagi dengan sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon.


Sumber: youtube

Namun, kini terdapat dua mod utama untuk sistem pendingin hawa iaitu Smart Climate dan Classic Climate yang setiap satunya hadir dengan pelbagai fungsi berguna. Sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon itu turut dilengkapi ciri Air Care untuk menapis debunga, spora dan partikel bawaan angin demi memastikan udara sentiasa bersih.

Walaupun ia terkenal dengan hatchback padu, Golf GTI menawarkan ruang yang luas buat seisi keluarga. Kargo seluas 374 liter itu boleh memuatkan peralatan sukan dan riadah yang besar. Dari aspek keselamatan, Golf serba baharu ini hadir dengan kerangka yang menggunakan kombinasi besi berkualiti tinggi yang dijurutera secara ekstensif untuk menawarkan perlindungan maksimum kepada penumpang sekiranya terdapat kemalangan.


Disamping itu, ciri-ciri keselamatan lain termasuklah ESC (Electronic Stability Control); Post Collision Braking System yang menghalang pelanggaran kedua, Electronic Differential Lock (XDS) yang menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah understeer, enam beg udara untuk perlindungan pasca pelanggaran serta banyak lagi.

Volkswagen Golf GTI kini ditawarkan dengan lima warna iaitu Kings Red (merah) dan Atlantic Blue (biru) dalam kemasan metalik; pilihan Moonstone Grey (kelabu) bukan metalik, di samping warna mutiara Deep Black (hitam) dan Oryx White (putih) tanpa sebarang caj tambahan. Model ikonik ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM214,990.




Hi, Boleh Bantu Share ? Thank You <3