Mungkin ada yang berasa masih terlalu awal untuk melakukan persiapan menyambut Ramadan.
Ramadan sebenarnya memerlukan persiapan rapi. Ia penting bagi memastikan kualiti yang bakal dicipta pada Ramadan nanti berada pada prestasi terbaik.
Doa Apabila Menghampiri Bulan Ramadhan.
Antara doa yang dibaca adalah: “Allahumma Baarik Lana fi Rajab wa Sya’ban wa Ballighna Ramadhan.”
Bermaksud: “Ya Allah, sampaikan aku ke bulan Ramadan dan serahkan waktu bulan Ramadan untuk aku penuhi dengan ibadat. Apabila habis Ramadan, aku harap Engkau terima segala ibadat yang kami lakukan.”
Baca juga: Persediaan Diri 100 Hari Menjelang Ramadan.
Bulan Rejab:
Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh dalam tahun Hijrah dan memiliki keutamaan yang penting dalam Islam. Bulan ini juga dipanggil sebagai bulan Mikraj kerana pada bulan ini terdapat peristiwa Israk dan Mikraj. Oleh itu, agama Islam menuntut umatnya untuk menghidupkan bulan ini dengan amalan-amalan ibadat.
Keutamaan bulan Rejab dan amalan yang wajar dilakukan dalam bulan ini boleh didapati melalui Hadis yang pelbagai. Bulan Rejab juga antara bulan yang dimuliakan oleh Islam dengan amalan sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan. Persediaan dalam menyambut bulan Ramadan dengan meningkatkan amalan pada bulan Rejab adalah amat membantu kepada pembentukan takwa seseorang Mukmin.
Keistimewaan bulan Rejab:
Salah satu daripada keistimewaan bulan Rejab ialah bulan ini merupakan salah satu daripada bulan Haram dalam Islam. Bulan Haram bermaksud bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan Rejab. Bulan ini dihormati dalam agama Nabi Ibrahim A.S dan orang Arab amat memuliakan bulan ini dengan tidak dibenarkan untuk berperang dalam bulan ini.
Masyarakat Arab sangat memuliakan bulan haram sekalipun dalam kehidupan mereka dipenuhi dengan kebodohan dalam penyembahan berhala. Mereka juga melarang sama sekali daripada berperang dalam bulan tersebut.
Tatkala Islam datang, Islam masih lagi memuliakan bulan Haram dengan diberikan pahala yang besar bagi orang yang menghidupkan bulan ini dengan amalan ibadat, tetapi Islam memansuhkan peperangan dalam bulan ini melalui firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 9.
Bulan Rejab juga merupakan bulan yang diiktiraf oleh Allah sebagai bulan Allah sebagaimana Hadis riwayat dari Aisyah R.A:
عن عائشة,قالت رسول الله صلى الله عليه وسلم: ((ٳن رجب شهر الله))
“A’ishah R.A berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya Rejab merupakan bulan Allah S.W.T.” (al-Baihaqi)
Peristiwa bulan Rejab
Banyak peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah antaranya:
1. Peristiwa Isra’ Mikraj.
Peristiwa agung 27 Rejab iaitu Baginda Rasulullah S.A.W telah diperjalankan oleh Allah dari Makkah ke Baitul Maqdis di waktu malam dan ketika itu juga sekali lagi dibelahnya dada Baginda Rasul S.A.W. Kemudian diangkatnya Baginda Rasul ke langit bertemu Allah, dan Allah telah memerintahkan kewajipan ibadah solat 5 waktu kepada umat Baginda Rasul.
2. Penghijrahan pertama ke Habsyah.
Akibat ditekan oleh Musyrikin Makkah, para Sahabat mengadu kepada Baginda Rasulullah S.A.W, lalu Baginda Rasul menyarankan umat Islam berhijrah buat kali pertama ke Wilayah Habsyah walaupun Raja Habsyah ketika itu bukanlah seorang Muslim, namun Raja Habsyah seorang yang baik dan menjamin keselamatan orang Islam.
3. Peperangan Tabuk.
Berlaku pada tahun 9 Hijrah, dan tiada pertempuran apabila tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan serta kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi sebarang kesukaran, menempuh musim panas, terik, serta lokasi Tabuk yang sangat jauh (di antara Hijjaz dan Syam).
4. Imam Syafie meninggal dunia.
Beliau merupakan salah seorang dari empat imam mazhab besar dalam dunia feqah dan pengasas kepada Mazhab Syafie. Beliau berasal dari Gaza dan dilahirkan juga pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan tahun pemergian Imam Abu Hanifah.
5. Pembebasan kedua Baitul Maqdis.
Tentera Islam yang dipimpin oleh Solahuddin Al-Ayubi telah Berjaya menawan kembali Baitul Maqdis kali kedua (583 Hijrah) menewaskan tentera Salib yang menjajah kawasan tersebut selepas pembukaan pertama oleh Saidina Umar Al-Khattab R.A.
Amalan sunnah di bulan Rejab:
keutamaan bulan Rejab, ianya terdapat beberapa amalan yang dituntut untuk dilakukan pada bulan Rejab ini. Ringkasnya, terdapat beberapa amalan sunat yang dituntut untuk diperbanyakkan pada bulan Rejab ini, iaitu menghidupkan dengan Qiamullail seperti solat sunnah, membaca al-Quran, berzikir, beristighfar, berselawat ke atas Nabi S.A.W, dan berdoa. Manakala siang hari bulan Rejab pula dituntut untuk berpuasa dan bersedekah. Pada asasnya semua amalan ini boleh dihidupkan di sepanjang bulan Rejab.
Seseorang boleh mengamalkan kesemua amalan ini dan tidak menentukan bahawa mesti dilakukan pada bulan Rejab dan apa yang lebih penting amalan tersebut semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-Nya. Bagi tujuan mengamalkan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya meningkatkan amal soleh dan sebagai bekalan menuju Allah S.W.T.
Bulan Syaaban
Bulan Syaaban berkedudukan kelapan dalam tahun Hijrah dan merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan dan kemulaan. Syaaban berasal daripada perkataan ‘sya’ba’ yang bermaksud berpecah dan menyimpang.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dinamakan Syaaban (berserak-serak) kerana padanya terdapat amat banyak kebajikan yang berserak-serak dan puasa yang lebih afdal sesudah Ramadan ialah puasa bulan Syaaban.”
Syaaban juga membawa maksud ‘bulan pemisah’ kerana ia memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan. Jika Rejab dianggap sebagai bulan ujian dan Ramadan sebagai bulan latihan, maka Syaaban yang mulia ini adalah sebagai bulan persediaan dan persiapan melakukan kebaikan sebanyak mungkin termasuk memerangi nafsu.
Di samping memohon doa, digalakkan juga untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran di sepanjang bulan ini. Sabda Nabi SAW: “Sya’aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).”
Sambutlah kedatangan Syaaban dengan keinsafan dan kesedaran serta peringatan bahawa perjuangan sebagai seorang insan masih belum berakhir. Perbanyakkan amal soleh, berpuasa dan solat sunat serta menolong meringankan penderitaan fakir dan miskin serta anak-anak yatim.
Peristiwa Penting Di Bulan Syaaban:
Antara peristiwa penting di dalam bulan Syaaban adalah;
1.Malam Nisfu Syaaban
Pada malam Niafu Syaaban telah dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang suka permusuhan / pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina, pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya itu.
2. Pertukaran Arah Kiblat
Pada 15 Syaaban tahun kedua Hijrah ketika Rasulullah SAW dan jemaahnya sedang bersolat Asar di dalam Masjid Quba’, berlaku peristiwa penting kepada Rasulullah SAW dan Muslimin iaitu peristiwa pertukaran arah kiblat dari mengadap Masjidil al-Aqsa di Baitulmuqadis (Bait al-Maqdis) ke arah Masjidil Haram (Baitullah Kaabah) di Makkah al-Mukaramah. Masjid tersebut kini dikenali juga sebagai Masjid Qiblatain (masjid dua kiblat).
Pertukaran kiblat menjadi isu besar di Madinah. Orang Yahudi mengambil kesempatan menabur fitnah memperlekehkan dakwah Rasulullah SAW.
Peristiwa ini berlaku pada pada bulan Syaaban. Kebenaran daripada Allah SWT untuk kembali berkiblatkan Kaabah adalah contoh doa Rasulullah SAW yang dikabulkan oleh Allah SWT. Ini kerana Rasulullah SAW sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah. Permintaan Rasulullah SAW tersebut telah diperkenankan oleh Allah swt pada bulan Syaaban.
Keutamaan Syaaban:
Kemuliaan Syaaban memberi rahmat, pengampunan dan ganjaran pahala berganda kepada sesiapa yang benar-benar menghidupkannya:
- Syaaban mempunyai kelebihan sebagai bulan untuk beramal ibadat. Setiap amal kebajikan akan Allah gandakan sebanyak 700 kali ganda.
- Syaaban mengandungi keutamaan dan kebaikan yang banyak. Allah akan menurunkan Rahmat-Nya dan memberikan pengampunan kepada hamba-Nya.
- Allah memberkati jika melaksanakan amal soleh atau ibadat dengan penuh kesungguhan serta keikhlasan.
- Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan akhir Syaaban, maka Allah kurniakan pahala 70 orang nabi, pahala beribadat selama 70 tahun dan jika meninggal pada tahun itu maka ia akan mendapat pahala mati syahid.
- Sesiapa yang bangun menghidupkan malam nisfu Syaaban dengan banyak bersolat sunat, berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, dan membaca al-Quran, maka Allah akan bukakan 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
Siti Aisyah r.a. berkata: “Bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah SAW ialah bulan Syaaban.”
Amalan-Amalan Sunat Bulan Syaaban:
Di antara amalan-amalan yang digalakkan dalam bulan Syaaban adalah memperbanakkan:
1. Puasa sunat.
Syaaban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah SAW dimana baginda lebih banyak berpuasa di dalamnya.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid.” (Durratun Nasihin)
2. Bertaubat dan Beristighfar.
Digalakkan juga untuk bertaubat dan memohon keampunan di atas keterlanjuran di sepanjang bulan ini. Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika.
3. Berzikir
Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah SWT dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah SWT dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.
4. Berselawat
Berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bukti kecintaan seseorang itu kepada Allah SWT. dan Rasulullah SAW, selain mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.
5. Berdoa
Doa dipohon sebagai tanda menginsafi dan menyedari diri manusia sangat lemah dan tidak mampu untuk menunaikan segala keperluan hidup. Firman-Nya: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepadaku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)-Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).
6. Berqiamullail Dan Meghidupkan Malam Nisfu Syaaban
Sunat menghidupkan malam 15 Syaaban dengan membaca zikir dan Al Quran kerana malam tersebut adalah malam yang amat mustajab dan penuh rahmat.
7. Berbuat Baik Dan Bersedekah,
Sambutlah kedatangan Syaaban dengan keinsafan dan kesedaran. Perbanyakkanlah amal soleh dan menolong meringankan penderitaan fakir dan miskin serta anak-anak yatim.
Bersedekah suatu amalan yang suci murni lagi terpuji sebagai keperihatinan dengan nasib dan kesusahan orang lain seperti mana yang amat dituntut oleh Islam.
Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik amal adalah memberi makan (kepada fakir miskin dan anak yatim) dan memberi salam kepada orang yang engkau kenal dan orang yang engkau tidak kenal.” (Riwayat Bukhari,Muslim dan Nasa’i)
8. Beristiqomah
Baginda SAW juga menggalakkan agar kita melakukan sesuatu yang baik terutama dalam ibadat khusus seperti solat sunat, puasa dan sedekah. Ia mestilah dilakukan secara berterusan walaupun sedikit kerana beristiqomah dalam melakukan amalan kebaikan akan mendatangkan perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan akhirnya melahirkan individu yang sentiasa mengingati Allah
Kesimpulan:
Ringkasnya, seseorang Muslim boleh memilih untuk beramal mengikut kemampuan mereka masing-masing dengan mengusahakan semaksimum mungkin bagi mendapatkan keberkatan serta keredhaan dari Allah S.W.T dengan memperbanyakkan ibadah.
Apabila amal dilakukan secara berterusan ia akan mendatangkan kepada kita perasaan untuk menghisab dan menghitung diri sendiri secara berterusan dan ini akan melahirkan individu yang sentiasa berada dalam ibadat dan mengingati Allah setiap masa dan tempat, sama ada ditikar sembahyang, ketika belajar mahupun ketika berkerja. Akhirnya menyebabkan kita akan merasai hikmat dan kesan daripada amalan tersebut.
Oleh itu, amatlah baik bagi kita sebagai umat Islam memperbanyakkan amal dan kebajikan, selain menjadi satu medan latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak.
Sesungguhnya bulan Syaaban adalah kesempatan untuk menyuci dan membaiki kecacatan hati dan memperbaiki diri dari segala macam celaan, setelah bulan Rejab lalu kesempatan kita menyucikan badan dan meminta ampun dari segala dosa, manakala pada bulan Ramadhan nanti masa kita untuk menyucikan roh dan menerangkan hati dan jiwa bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.