Kaedah pinjaman dengan menjadikan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sebagai cagaran kepada bank hanya bersifat sementara dan bukan penyelesaian kepada masalah pencarum secara keseluruhan.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani menyifatkan langkah itu cenderung meningkatkan beban hutang pencarum kerana mereka perlu membayar faedah pinjaman bank.
Sign Petition Pengeluaran KWSP di sini.
Perlu Bayar Pinjaman Bank
“Jaminan KWSP bukan penyelesaian jangka panjang kerana akhirnya pencarum terpaksa berhutang & tambah bebanan dengan komitmen bayaran bulanan berserta caj faedah.
“Tetapi, bergantung kepada pencarum, mungkin kaedah ini boleh dijadikan pilihan terutama bagi mereka yang terdesak dengan jumlah simpanan yang besar dan berkemampuan untuk membayar balik.
“Menurut MTUC, perkara ini perlu diperhalusi lagi kerana kita ingin tahu apakah mekanisme yang dimaksudkan dengan cagaran kerana amalan sedia ada mana-mana individu yang ingin memohon pinjaman kenderaan atau rumah, pihak bank akan meminta penyata KWSP sebagai syarat,” katanya lagi.
Daripada Meminjam Lebih Baik Memberi
Mengulas lanjut, Mohd Effendy berkata, pihaknya berpendapat adalah lebih baik kerajaan memperuntukkan sejumlah dana untuk pelaburan KWSP supaya keuntungan dapat dikembalikan kepada pencarum terutama mereka yang terjejas.
“Daripada meminjam, lebih baik kerajaan memberi dana kepada KWSP untuk pelaburan supaya pulangan dapat disalurkan semula kepada pencarum.
“Amaun pulangan yang diberikan kepada pencarum boleh diperhalusi lagi mengikut kategori kumpulan sama ada untuk mereka terjejas seperti B40 sahaja atau semua pencarum termasuk M40.” katanya.
Tawarkan Kadar Faedah Yang Rendah
Sementara itu, Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, pihaknya mencadangkan institusi kewangan menawarkan kadar faedah yang lebih rendah khusus kepada peminjam yang ingin mencagarkan wang KWSP mereka.
“Cadangan pinjaman dengan mencagarkan KWSP merupakan cadangan yang baik daripada Anwar Ibrahim supaya mereka yang terdesak memerlukan kewangan mempunyai sumber yang boleh digunakan tanpa perlu mengeluarkan simpanan hari tua.
“Bagi peniaga yang mencarum kepada KWSP, sudah tentu kaedah ini lebih baik dan tidak menyukarkan pihak lain untuk meminjam misalnya membuat pusingan modal berbanding sebelum ini yang perlu ada penjamin.
“Dengan adanya cagaran sebegini, bank lebih yakin kerana kemampuan kami untuk membayar lebih tinggi kerana kami mempunyai perniagaan,” katanya.
Katanya, pinjaman yang dibuat tidak boleh melebihi jumlah simpanan KWSP bagi menjamin masa depan pencarum.
“Perlu dilihat berapa banyak yang diperlukan untuk membiayai keperluan tersebut dan sudah pasti ada kemampuan untuk membayar balik supaya peminjam tidak dibebani masalah berganda apabila tidak mampu membayar balik pinjaman,” katanya.