Tahukah anda, terdapat satu jenis caruman KWSP yang membolehkan pencarum untuk mendapat insentif KWSP RM250 setahun.
Ianya dikenali sebagai i-Saraan KWSP. I-Saraan merupakan salah satu inisiatif di bawah SKIM PENJANA yang diumumkan kerajaan pada Mei 2021 yang lalu.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berharap insentif geran padanan ini dapat menggalakkan lebih ramai pekerja dalam sektor itu menyumbang kepada program ini.
I-Saraan KWSP
Insentif Persaraan atau i-Saraan dengan caruman sukarela membolehkan para suri rumah dan mereka yang bekerja sendiri (tiada pendapatan tetap) untuk terus membuat caruman seperti pekerja awam dan swasta setiap bulan.
Sebagai ahli insentif atau penyumbang, anda akan menerima sumbangan kerajaan sebanyak 15% atau jumlah maksimum RM 250 setahun
Faedah Yang Anda Akan Dapat
Berikut adalah antara faedah yang bakal diterima oleh pencarum :
- Menyediakan satu saluran persaraan bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap
- Pencarum boleh menikmati dividen tahunan ke atas simpanan persaraan anda
- Membenarkan pencarum menerima insentif 15% atau RM250 setahun
- Manfaat kematian RM2,500 mengikut terma dan syarat KWSP
Senarai Golongan Yang Bekerja Sendiri
Di bawah adalah senarai orang yang bekerja sendiri yang boleh memohon i-Saraan:
- Pemandu teksi / e-hailing
- Petani
- Nelayan
- Sudah pencen
- Pengasuh
- Ejen insurans dan hartanah
- Freelancer seperti penyanyi, pelakon, perunding dan lain-lain
- Peniaga online
- Pemilik perniagaan
- Suri rumah
Syarat Kelayakan
BERIKUT adalah syarat kelayakan yang ditetapkan untuk anda dapat insentif RM250 ini :
- Warganegara Malaysia
- Individu yang bekerja sendiri atau tiada pendapatan tetap, suri rumah dan pesara
- Pencarum KWSP
- Berumur 55 tahun ke bawah
Cara Permohonan
Bagi yang berminat untuk memohon i-Saraan, anda boleh pergi ke mana-mana kaunter KWSP berdekatan dengan dokumen di bawah:
- MyKad
- Borang i-Saraan – KWSP 16G (M) (PENDAFTARAN KALI PERTAMA SAHAJA) MUAT TURUN BORANG
- Borang i-Saraan – KWSP 6A (2) (Semasa PEMBAYARAN) MUAT TURUN BORANG
Info Tambahan
– Pembayaran secara tunai dan cek atau melalui perbankan internet (Penggunaan borang tidak diperlukan)
– Pembayaran minimum : tiada had
– Bayaran maksimum : RM 60,000 setahun untuk semua pencarum