PEMILIK Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar meminta kerjasama penyokong kelab itu untuk turut serta bersamanya melakukan ‘kerja gila’ bagi melihat kebangkitan semula pasukan pada 2023.
Beberapa transformasi yang dilakukan termasuk melantik Nafuzi Zain sebagai pengendali pasukan baharu, Dr. Mohd Daud merasakan segala usaha keras oleh pihak pengurusan mungkin tiada makna jika tanpa sokongan ‘pemain ke-12’ buat pasukan itu.
“Teruskan ‘kegilaan’ anda bagi menyokong kelab dan pasukan kesayangan anda seperti mana saya juga ‘gila’ mengambil tanggungjawab sebagai pemilik baharu sebuah pasukan yang mempunyai legasi yang berat dan dalam.
“Sama-sama kita teruja dalam kegilaan kita yang positif. Banyak pencapaian hebat atas dunia berlaku dari kegilaan impian dan juga usaha juang,” katanya.
Reaksi itu hadir selepas beliau mendapati keterujaan peminat terhadap kad keahlian Sang Kenari yang mendapat sambutan yangsangat baik daripada penyokong setia Helang Merah selama ini.
Selain tiga pas bermusim iaitu pakej Platinum, Gold dan Bronze, KDA FC juga turut memperkenalkan pas bermusim untuk keluarga Sang Kenari dan tiket keluarga Sang Kenari bagi memeriahkan suasana setiap musim.
“Sambutan dari penyokong yang luar biasa dan kegilaan memuncak. Bagi pihak KDA FC, saya ingin menzahirkan rasa terharu atas sokongan kepada pelancaran kad keahlian Sang Kenari.
“Sokongan dan partisipasi anda ibarat saluran oksigen kepada kelab kita. Sama-sama kita tolong-menolong. Kegemilangan dan sorakan meriah di setiap perlawanan bermula dari sokongan dan partisipasi anda semua,” katanya.
Ketika ini, KDA FC dalam persiapan akhir sebelum pasukan itu menghadapi perlawanan pemanas badan menentang Kelantan di Stadium Darul Aman untuk musim terdekat ini.