Gangguan Pada Nombor Casis Dan Enjin


Nombor casis adalah umpama kad pengenalan pada kenderaan dan ia juga perlu diberi penekanan oleh pemilik kenderaan. Ramai pemilik tidak pernah mengetahui apa itu nombor casis malah tidak ramai yang tahu di mana letaknya nombor casis itu. Berbeza mengikut jenama dan model kenderaan, nombor casis ada yang terletak di bonet, bawah kerusi pemandu selain kerangka.

Bagi nombor enjin pula, ia terletak di bahagian enjin. Sekiranya pemilik kenderaan mendapati ada kesan gangguan seperti nombor tidak jelas, kesan cetakan semula atau tampalan, mereka perlu merujuk kenderaan berkenaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pengesahan.

Disamping itu, Penolong Pengarah/Jurutera iaitu JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Ir Ts Norhabib Mohd Kamin juga berkata, bahawa nombor casis tidak boleh diubah dan perlu diperiksa untuk kesahihan jika terdapat gangguan pada nombor berkenaan. Ia amat penting bagi memastikan kenderaan berkaitan bukan kenderaan klon. Biasanya, pemilik kenderaan hanya menyedari ia kenderaan klon ketika mahu memperbaharui cukai jalan atau ingin menjualnya.

Pada kebiasaannya juga, ia terdapat status meragukan dalam sistem JPJ seperti nama pemilik tidak sama dengan sijil pemilikan kenderaan serta nombor pendaftaran kenderaan berbeza dengan apa yang didaftarkan untuk casis. Menurut Norhabib juga, nombor casis dan enjin bukan sahaja sangat penting malah ia perlu ada sebelum sesebuah kenderaan itu didaftarkan. Sekiranya terdapat gangguan pada nombor berkenaan, kenderaan berkaitan boleh disita. Bagi proses seterusnya, kenderaan itu akan dirujuk ke Jabatan Kimia yang akan membuat proses pengecaman nombor casis dan mengeluarkan laporan lengkap kepada JPJ untuk tindakan susulan. Katanya, nombor casis dan nombor enjin kenderaan mestilah terang, jelas serta tidak diusik.

Gangguan Pada Nombor Casis Dan Enjin 2

Sumber: google image

Proses Pemeriksaan Gangguan Nombor Casis:

1. Kenderaan gagal pemeriksaan Puspakom atau kes aduan daripada pemilik

2. Kenderaan hadir ke JPJ untuk pemeriksaan.

3. Jika terdapat gangguan, kenderaan akan dirujuk ke Jabatan Kimia

4. Setelah laporan kimia diperoleh, jika terdapat gangguan pada nombor berkaitan, kenderaan akan dilarang lesen.

Guna bahan kimia khas

Sementara itu, seramai 23 pegawai Jabatan Kimia bergilir-gilir untuk melakukan ujian forensik membabitkan gangguan nombor casis serta enjin kenderaan. Pegawai Sains, Ahli Kimia, Bahagian Kriminalastik Pusat Analisis Sains Forensik, Jabatan Kimia Malaysia Mohamad Firdaus Ramli berkata, khidmat mereka sering digunakan apabila ia membabitkan gangguan nombor casis dan enjin.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menghantar permohonan kepada Jabatan Kimia sebelum kami melakukan pemeriksaan yang mengalami gangguan casis. Jadual tugasan mereka juga sentiasa penuh kerana pemeriksaan dilakukan di seluruh negara. Untuk mendapatkan kembali nombor asal, kami gunakan bahan kimia khas membabitkan proses dikenali sebagai elektrokimia,” katanya.

Menurut Mohamad Firdaus, kebiasaannya, nombor casis yang diganggu dapat dikembalikan melalui proses ini. Menerusi laporan yang dikeluarkan, katanya, ia akan menentukan sama ada nombor berkenaan diganggu atau sebaliknya. Proses untuk mendapatkan kembali nombor itu mengambil masa kira-kira setengah jam. Keputusan ujian makmal pula mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari.

Selain itu, menurut Mohamad Firdaus, pihaknya juga membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan jabatan lain membabitkan kes kemalangan, kebakaran, senjata api, letupan serta keaslian barang kemas.


Hi, Boleh Bantu Share ? Thank You <3