Gabriel Menganas Di Arsenal!


Liga Perdana Inggeris. Ikuti Berita Sukan Bola Sepak Disini.


Gabby Kecewa Tidak Menjaringkan 4 Gol

Mikel Arteta memuji Gabriel Jesus kerana meningkatkan jentera serangan Arsenal selepas pemain Brazil itu mencetak dua gol selain mencipta dua bantuan jaringan dalam kemenangan mendebarkan ke atas Leicester City, kelmarin.

Arsenal mencatat dua kemenangan daripada dua perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan membenam The Foxes 4-2 di Stadium Emirates untuk melakar gol pertamanya sejak dipancing daripada Manchester City bulan lalu.

Dengan itu, Jesus muncul pemain pertama yang merekodkan lebih satu gol dalam penampilan sulungnya untuk The Gunners dalam kempen liga, malah penyerang berusia 25 tahun itu juga menjadi pemain Arsenal pertama yang merobek gawang lawan dan mencipta gerakan gol dalam perlawanan liga sejak Theo Walcott melakukannya ketika menentang Newcastle United pada Disember 2012 (tiga gol dan dua bantuan jaringan).


Ini bermakna juara empat kali itu seiring dengan Manchester City yang menundukkan Bournemouth 4-0 selepas kecewa tercicir tiket Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu dan Arteta gembira dengan permulaan cemerlang barisannya.

“Saya fikir beliau meningkatkan standard kami menerusi usahanya dalam latihan setiap hari dan cara beliau bercakap,” kata pengurus Arsenal itu.

“Saya fikir ia cukup semula jadi tetapi pada masa yang sama mengagumkan kerana dapat menyesuaikan diri dengan pantas, kami juga menagih penyudah pemain lain.


“Jika anda mahu berada di puncak maka kami perlu menjaringkan banyak gol dan kami tidak boleh bergantung kepada dua atau tiga pemain sahaja.

“Kami sedar tentang kebolehan Gabby. Beliau menjaringkan dua gol dan mencipta dua gerakan gol dan beliau masih kecewa di bilik persalinan kerana mengatakan sepatutnya menyumbat empat gol.

“Itu standard yang dipamerkannya, itulah mentaliti yang diperlukan jika kami mahu pergi ke tahap yang berbeza, kami perlukan mentaliti itu.


“Saya tidak mahu berdepannya. Saya tidak pernah menjadi pertahanan tetapi saya boleh bayangkan bahawa mereka tidak akan menggemari kelibatnya. Gabriel serba boleh, memiliki naluri, sentiasa tajam serta proaktif untuk bermain dalam sebarang saat dan di mana-mana fasa. Corak permainan kami dan kehadirannya adalah ancaman sebenar.”

Gol pembukaan Jesus itu meletakkannya sebagai pemain Brazil ke-12 yang menjaringkan gol untuk kelab London berkenaan dalam EPL, terbanyak berbanding kelab lain.

Penyerang itu hanya membuat 21 permulaan liga pada musim terakhirnya bersama City tetapi telah mengambil alih peranan penting sejak berkelana ke Emirates.


Lantas, Arteta menyedari kepentingan menguruskan beban tugasnya sambil menambah: “Kami akan menuntutnya untuk terlibat dalam banyak perlawanan jadi kami perlu menguruskan beban itu dan cara kami berlatih adalah berbeza.

“Kami perlu berada dalam kawalan dan mudah-mudahan begitu.”




Hi, Boleh Bantu Share ? Thank You <3