Bila MFL nak umum tarikh, venue final?


Kuala Terengganu: “Bila MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) akan umumkan tarikh dan stadium final Piala FA?

“Jangan lah buat kami tertunggu-tunggu kerana kami perlu membuat persiapan awal termasuk tempahan bas, persiapan dan juga permohonan cuti, sepatutnya tarikh akhir diumumkan lebih awal lagi.


“Tetapi sehingga kini tiada sebarang petunjuk tarikh dan venue perlawanan walaupun sebelum ini pengurus liga bola sepak akan diumumkan Selasa lalu,” kata Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Terengganu FC (TFC), Mohd Isa Che Ariffin.

Beliau berkata demikian selepas berang dengan sikap MFL yang masih ‘bisu’ berhubung tarikh final Piala FA mengadakan pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta’zim (JDT).

Harap MFL umum secepat mungkin

“Sebenarnya kami juga berasa pelik dan hairan kenapa sehingga kini tarikh dan venue perlawanan masih belum diumumkan, jadual dan venue perlawanan sepatutnya diumumkan selewat-lewatnya sebelum aksi separuh akhir baru-baru ini.


“Jadi dengan keadaan tanpa sebarang perkembangan, persiapan kami sedikit terganggu untuk perlawanan akhir kerana tarikhnya belum diumumkan lagi.

“Kami berharap MFL dapat memberi jawapan segera berhubung tarikh dan tempat perlawanan supaya tidak perlu membuat persiapan lebih-lebih lagi selepas 11 tahun menunggu untuk melihat aksi pemain TFC di pentas final,” katanya ketika dihubungi.

Ketika ditanya mengenai cadangan dan tempat perlawanan, Mohd Isa menaruh harapan tinggi kepada Stadium Nasional MFL Bukit Jalil sebagai gelanggang aksi final kerana stadium itu mampu menampung lebih ramai penonton berbanding stadium lain.


“Sedangkan tarikh cadangan kami pada 27 Ogos, selain meminta MFL mengekalkan harga tiket RM50 untuk tempat duduk seperti biasa sebelum ini kerana sudah pasti kami tunggu untuk sampai ke Kuala Lumpur memandangkan kami jauh,” katanya.

Pandangan sama turut disuarakan peminat setia TFC, Asrul Azam Jusoh, 39, yang berharap MFL dapat mengumumkan tarikh dan tempat perlawanan akhir tidak lama lagi.

“Jangan buat kami tertunggu-tunggu nanti kerana banyak persiapan perlu dibuat termasuk penginapan, tempahan bas dan lain-lain selain tiket perlawanan terutama selepas 11 tahun TFC menunggu untuk mara ke final bagi merebut trofi,” katanya.


Terdahulu dalam perlawanan Liga Super antara TFC dan Sarawak United FC, Sabtu lalu, penyokong setia skuad Penyu memasang kain rentang dengan perkataan: “MFL ada tarikh akhir ke belum…? Kita tanya.”

 

Baca juga : Tuntut Passport Segera, Elak Dibatalkan




Hi, Boleh Bantu Share ? Thank You <3