Bantuan Modal Perniagaan RM20,000 Untuk 1000 Usahawan

Bagi mereka yang berada di ibu kota, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntuk geran sehingga RM20,000 untuk membantu 1,000 usahawan muda di ibu kota memulakan perniagaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata inisiatif itu akan dimulakan pada Ramadan ini sebagai modal awal untuk individu yang berminat menceburi perniagaan kecil-kecilan.

Baca juga: Tebus Bantuan Persekolahan Sehingga RM450 MAIWP

“Kita juga akan melihat prestasi mereka sepanjang bulan Ramadan ini dengan sesetengahnya mungkin terbabit dengan perniagaan di bazar Ramadan.

“Bantuan ini untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam perniagaan dan antara usaha untuk membantu usahawan muda di Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Baik Pulih Rumah Mangsa Bencana Ribut dan Kebakaran di Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Shahidan berkata, MAIWP juga bersetuju membantu 36 keluarga terjejas kerana ribut dan kebakaran dengan menyalurkan Bantuan Baik Pulih Rumah membabitkan peruntukan RM200,000.

“Bagi mangsa kebakaran di Rumah Pangsa Setapak Jaya pada 16 Januari lepas, satu daripada keluarga itu akan menerima bantuan RM10,000, manakala sebuah lagi keluarga menerima RM20,000,” katanya.

Beliau berkata, 31 keluarga yang menjadi mangsa bencana ribut di Flat Taman Melati, Setapak, pada 24 Januari lalu, akan menerima RM5,000 setiap keluarga.

Sementara itu, Mohd Daud, berkata usahawan muda yang berminat digalakkan memohon geran berkenaan terus kepada MAIWP bagi mendapatkan bantuan modal berkenaan.

“Sebagai permulaan, kita akan beri bantuan bernilai RM3,000 hingga RM5,000 untuk bantu mereka membuka gerai dan membeli kelengkapan berniaga seperti dapur dan perkakas lain.

“Kita juga akan memberikan latihan dan pengetahuan asas dalam perniagaan supaya mereka lebih memahami aliran tunai, disiplin kewangan dan ilmu lain dalam perniagaan,” katanya.


Hi, Boleh Bantu Share ? Thank You <3