Kuala Lumpur: Abang kepada penyanyi Zamani Slam Zulfazli Ibrahim meninggal dunia malam tadi.
Perkara ini disahkan oleh kenalan Zamani iaitu Mazrie dan Ahmad Naqiuddin.
Malah, berita sedih ini turut dikongsi penyanyi itu menerusi laman sosialnya.
• ‘Semoga Allah permudahkan urusan Zamani Slam’ – Shah Slam
“Assalamualaikum… Saya sekeluarga ingin memaklumkan bahawa adik saya, Zulfazli Ibrahim telah menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi. Harap dapat sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah dan doakan urusan arwah ke dipermudahkan,” tulisnya.
Ahmad Naqiuddin atau Naqee ketika dihubungi berkata, sebaik mendapat berita itu dia terus menghubungi Zamani.
“Ketika itu mereka (Zamani dan isterinya Nur Juliana) dalam perjalanan ke Hospital Sungai Buloh kerana mayat ada di situ.
“Bagaimanapun, Zamani tidak membenarkan saya ke sana buat masa ini, dia berjanji akan memberi maklumat lengkap pada sebelah pagi.
“Saya sendiri terkejut dengan berita ini,” katanya kepada Harian Metro.
Difahamkan, Zulfazli melawat Zamani sebelum adiknya menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat skoliosis di Pusat Perubatan Sunway Velocity, Cheras pada 7 November lalu.
Terdahulu Zamani kehilangan adiknya Zuraidah Ibrahim pada 26 September lalu akibat komplikasi buah pinggang.
Jenazah Zuraidah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Keramat, Kuala Lumpur.